PERKARA PENTING YANG PELAJAR PERLU TAHU TENTANG PINJAMAN MARA

Apa itu MARA?

Majlis Amanah Rakyat (bahasa Inggeris: Indigenous People’s Trust Council; seringkali disingkatkan kepada MARA) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia. MARA dibentuk pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun dan autonomi.

Adalah menjadi kewajipan Majlis bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam persekutuan dan khususnya dalam kawasan-kawasan luar bandar.

 

Apakah objektif MARA?

 VISI KORPORAT

Menjadi organisasi amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa

MISI KORPORAT

Menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera 

Kenapa MARA menawarkan pembiayaan pendidikan kepada pelajar?  

Matlamat tajaan MARA adalah untuk membantu pelajar bumiputera yang berpotensi dan berkelayakan terutama yang memerlukan bantuan kewangan untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang-bidang Sains, Teknologi, Profesional, Kepakaran dan Pengurusan Perniagaan serta bidang-bidang lain yang dikenalpasti oleh MARA dari masa ke semasa.

 

Berapakah jumlah kadar pembiayaan yang diberikan?  

Kadar bantuan pinjaman pelajaran MARA ditentukan berasaskan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi tertakluk kepada keadaan peruntukan kewangan MARA.

 

 Senarai IPTS yang boleh memohon pinjaman MARA?  

Semua IPTS yang mana kursus pengajian yang diikuti oleh pemohon diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

 

Adakah MARA menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang?  

Ya, iaitu di bawah SPiP Program Khas. Program ini khusus untuk pelajar-pelajar  mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sebelumnya. Antara program Persediaan yang diitawarkan adalah ADFP, A-Level, International Baccalaureate (IB), Australia Matriculation (AUSMAT) dan lain-lain. Pemilihan pelajar disaring berdasarkan kepada kecemerlangan akademik serta ujian psikometrik dan temuduga. Jika memenuhi syarat kelayakan akademik minimum yang ditetapkan boleh memohon melalui iklan yang akan diumumkan di dalam akhbar-akhbar tempatan dan melalui portal rasmi MARA. Pelajar perlu mengikuti Program Persediaan yang akan dijalankan di dalam negara serta mencapai keputusan akademik cemerlang sebelum dihantar melanjutkan pengajian  ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

 

Bolehkah Pinjaman MARA ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa?  

Tidak, tetapi akan mendapat jumlah pengurangan balik berdasarkan CGPA yang diperolehi. Pelajar hanya perlu memohon pengurangan balik pinjaman sahaja dibawah skim e-conversion. Klik di sini untuk ke portal pengurangan balik pinjaman. Baca syarat pengurangan balik MARA dan e-panduan pengurangan balik pinjaman. Tempoh setahun diberikan kepada peminjam untuk membuat permohonan balik pinjaman selepas tamat pengajian. Jika gagal berbuat demikian, peminjam wajib membayar 100% pinjaman yang telah dipinjam.

 

Bilakah pembayaran balik pinjaman perlu dibuat selepas tamat pengajian? 

Pembayaran balik pinjaman adalah selepas tempoh SETAHUN peminjam menamatkan pengajian. Klik di sini untuk lihat cara pembayaran balik pinjaman MARA.   

 

Bolehkah membuat penangguhan balik pinjaman MARA?  

Penangguhan bayaran balik hanya diberikan kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi secara sepenuh masa sahaja. Permohonan penangguhan boleh dibuat dengan cara menulis surat dan mengemukakan bersama surat pengesahan belajar dari institusi pengajian yang sedang diikuti yang mempunyai maklumat berikut :

  • Nama Kursus yang sedang diikuti
  • Tarikh mula pengajian
  • Tarikh dijangka tamat pengajian

 

 Bolehkah membuat pinjaman MARA untuk pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di luar negara?

Tidak boleh. Pinjaman luar negara hanya diberikan kepada pelajar lepasan Ijazah Pertama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana (masters), profesional dan doktor falsafah sahaja. Pelajar perlu mendapatkan tawaran daripada universiti / institusi pengajian yang diiktiraf oleh kerajaan / MQA dan universiti terkemuka luar negara terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan. Pinjaman adalah untuk pengajian secara Kerja Kursus (by Coursework) dan Penyelidikan (by Research). Pelajar yang layak akan ditawarkan pinjaman meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun buku, elaun perkakas, elaun kertas projek dan elaun tesis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *